Tentu semua biasa mendengar tentang lagu ni. "Kekasihku Di Menara" nyanyian kumpulan UKAYS. Bila dengar video ni teringat kisah kawan saya yang pernah mengalami kejadian seperti dalam lagu ni. Ni kisah sebenar. Bukan "CUBAAN". Kisahnya bermula begini....
Ahmad (bukan nama sebenar), dia merupakan kawan saya. Ahmad seorang yang aktif di sekolah dan aktiviti di kawasan perumahan kami. Biasala. Dulu banyak aktiviti di kawasan perumahan. Contohnya, sukan, kebudayaan dan sebagainya. Sedar tak sedar Ahmad telah meminati salah seorang gadis, Ida (bukan nama sebenar) yang turut sama "involve" dalam setiap aktiviti di kawasan perumahan kami. Ida lebih muda daripada Ahmad. Pada mulanya Ahmad malu untuk berterus terang namun terpaksa memendam cintanya setelah Ahmad ditawarkan melanjutkan pelajaran ke IPTA tempatan. Setelah setahun melanjutkan pelajaran, Ahmad mengambil keputusan untuk berhenti atas sebab-sebab yang tidak boleh nyatakan di sini😏😏😏. Ahmad mula mencari kerja dan Alhamdulillah dia telah mendapat kerja sementara. Pada satu hari, dia telah terserempak dengan Ida. Cintanya kepada Ida kembali bertaut. Rindunya kian mekar. Ahmad nekad untuk bersemuka dengan Ida bagi menyatakan cintanya kepada Ida. Tanpa diduga, cintanya berbalas. Selama ini, Ida pun menaruh perasaan yang sama kepada Ahmad. Ahmad merancang untuk melanjutkan pelajaran bersama Ida dan sanggup menunggu Ida sehingga habis belajar. Ahmad telah mengorbankan masa, ruang dan kewangan bagi memastikan Ida berjaya dalam pelajaran dan dapat keputusan yang cemerlang bagi melanjutkan pelajaran ke IPTA.
Masa berlalu. Tahun berganti tahun. Ida telah berjaya dengan cemerlang dalam pelajarannya. Ahmad terlalu gembira kerana apa yang dirancang telah berhasil dan pengorbanannya selama ini terbalas. Mereka telah memilih jurusan dan Universiti yang sama. Namun rezeki tidak berpihak kepada Ahmad. Ida telah mendapat tawaran untuk belajar di sebuah IPTA tempatan. Dengan berat hati Ahmad telah merelakan Ida untuk melanjutkan pelajarannya. Pada mulanya, mereka sering berhubungan. Baik telefon. SMS. Hampir setiap hari mereka akan meluangkan masa. Namun langit tidak selalunya cerah. Semakin lama mereka jarang berhubungan kerana kekangan masa dan tugasan. Perbualan yang dahulunya indah kini menjadi suram. Setiap kali pasti akan diselangi pertengkaran. Ahmad seperti keliru dengan perubahan yang berlaku kepada Ida. Apa salahnya? Hubungan mereka menjadi renggang. Apabila cuti semester tiba, Ida pasti akan mengelak setiap kali Ahmad menghubunginya.
Akhirnya Ahmad mengambil keputusan untuk mendapatkan kepastian daripada Ida. Akhirnya mereka dapat bertemu bagi meleraikan sebuah persoalan. Setelah puas mereka bertegang kata, akhirnya Ahmad terpaksa melepaskan Ida dengan rela. Memang berat bagi Ahmad. Tak kan Ida tidak nampak segala pengorbanannya selama ini. Namun sudah ketentuan Ilahi. Mereka tiada jodoh. Ahmad pernah juga cuba memujuk Ida namun hati Ida tidak dapat menerimanya. Tapi, apa sebab mereka berpisah? Kenapa? Semasa di Universiti, Ida telah berkawan dengan seorang lelaki yang begitu mengambil berat akan dirinya. Hubungan mereka semakin rapat. Akhirnya lelaki tersebut menjadi kekasih kepada Ida. Bagaimana Ahmad tahu? Segalanya diceritakan oleh kakak Ida. Ida kesunyian semasa belajar di sana. Lama kelamaan lelaki tersebut berjaya mengetuk pintu hati Ida. Perkara ini semestinya mendapat tentangan daripada kakak Ida. Namun, hati Ida telah berpaling. Perkara tersebut juga diakui Ida dan menurutnya lelaki tersebut sering mengambil berat tentang dirinya berbanding Ahmad.
Alhamdulillah. Akhirnya, Ahmad dapat melanjutkan pelajaran di salah sebuah IPTA tempatan. Kali ini Ahmad nekad untuk melupakan apa yang terjadi dan ingin menebus semula kealpaan Ahmad sebelum ini. Dengan kesungguhan tersebut, Ahmad akhirnya dapat menamatkan pelajarannya dengan cemerlang dan mendapat kerja yang terbaik. Selang beberapa tahun, Ahmad menerima satu undangan perkahwinan dan tidak menyangka undangan tersebut datangnya daripada Ida. Ida akan berkahwin dengan teman lelaki yang belajar bersamanya di IPTA tersebut. Ahmad terus menghubungi Ida. Dalam perbualan tersebut, terbit juga rasa kesal daripada Ida tentang apa yang telah terjadi antara mereka. Namun, Ahmad menasihati Ida untuk terima apa yang terjadi dengan pasrah dan redha. Bagi Ahmad semua ini adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Terpulang pada kita untuk membuat penilaian. Bersedehana dalam bercinta begitu juga membenci. Setiap masalah perlu kita bincang. Cari jalan penyelesaian.
SEMUA YANG TERJADI PASTI ADA HIKMAHNYA. KITA HANYA REDHA DAN PASRAH ATAS KETENTUANNYA...
0 Comments